BAJET 2012: RANGSANGAN DAN PELUANG BUAT USAHAWAN


Berikut adalah Sedutan dari pembentangan bajet 2012 pada 7 hb. Okt 2011. 4 kelompok usahawan yang mendapat perhatian langsung dari bajet ini iaitu usahawan PKS, usahawan francise, usahawan belia, usahawan wanita. Semuga para usahawan tidak leka dan bersikap proaktif untuk merebut peluang-peluang yang mendatang. Selamat Maju Jaya !!!

30. Seperti yang dimaklumi, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menyumbang hampir 31 peratus kepada KDNK, 56 peratus kepada tenaga kerja dan mencakupi 19 peratus daripada jumlah eksport. Sebagai usaha meningkatkan lagi sumbangan PKS kepada pertumbuhan ekonomi, satu skim Dana Pembiayaan PKS patuh syariah berjumlah dua bilion ringgit yang dikendalikan oleh bank-bank Islam terpilih akan diwujudkan pada 2012. Seiring maksud ini, Kerajaan akan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan.

31. Selanjutnya, kita tahu bahawa, kegagalan usahawan bukan semuanya disebabkan oleh ketidakupayaan berniaga tetapi juga oleh faktor di luar kawalan seperti kemelesetan ekonomi dan kenaikan kos. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya atau pintu kejayaan telah tertutup. Usahawan yang ikhlas dan gigih dalam perniagaan mesti diberi peluang kedua. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan SME Revitalisation Fund dengan dana 100 juta ringgit. Skim ini menawarkan pinjaman mudah dengan maksimum satu juta ringgit kepada golongan peniaga untuk membangunkan semula perniagaan mereka. Dana ini akan diuruskan oleh SME Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012.

32. Kerajaan juga bercadang untuk menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS sebanyak 10 juta ringgit untuk membantu PKS yang terlibat dengan bencana alam. Penubuhan dana ini adalah satu langkah proaktif bagi membantu PKS supaya dapat beroperasi semula seperti biasa dalam tempoh yang singkat. Dana ini akan disalurkan kepada PKS dalam bentuk geran dan pinjaman mudah melalui SME Corporation dan MIDF. Skop pembiayaan dana akan meliputi pembelian mesin dan peralatan untuk menggantikan mesin yang musnah dalam bencana alam, pembelian bahan mentah dan membaik pulih premis.

33. Menyentuh perniagaan francais pula, kita dapati, francais oleh syarikat tempatan dapat memperkasakan jenama Malaysia. Jadinya, bagi terus menyokong pembangunan industri francais tempatan, Kerajaan mencadangkan fi francais yang ditanggung oleh francaisi dibenarkan potongan cukai. Kerajaan menyeru syarikat francais tempatan tidak melepaskan peluang untuk terus berusaha dan memantapkan lagi perniagaan termasuklah mengembangkan sayapnya ke luar negara.

74. Selanjutnya, Kerajaan juga akan mengambil langkah bagi membendung kenaikan kos dan harga serta membantu mengurangkan beban rakyat seperti berikut:

Pertama: Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara. KR1M menawarkan 250 jenis produk berjenama 1Malaysia meliputi keperluan harian pengguna pada harga sehingga 40 peratus lebih rendah. Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, Kerajaan juga bercadang membuka 85 unit tambahan sehingga akhir 2012 dengan peruntukan 40 juta ringgit;

Kedua: Membuka 30 unit Agro Bazaar Kedai Rakyat di seluruh negara bagi memasarkan produk pertanian dan barangan berjenama 1Malaysia. Di samping itu, Kerajaan akan memperluaskan penjualan produk 1Malaysia di semua kedai di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), kedai FELDA dan kedai serbaneka stesen minyak seluruh negara; dan

Ketiga: Memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan pakej menu makanan popular pada harga yang berpatutan iaitu maksimum dua ringgit bagi sarapan pagi dan empat ringgit bagi makan tengah hari. Sehingga kini, lebih 700 pengusaha telah mengambil bahagian dan dijangka diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012. Untuk mengembangkan lagi langkah ini, Kerajaan menggalakkan semua pengusaha kafeteria di pejabat Kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu Rakyat 1Malaysia.

78. Bagi tahun 2012 pula, 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja. Harga rumah yang ditawarkan di bawah skim ini lebih rendah berbanding dengan harga pasaran disebabkan tanah dan dana mudahcara disediakan kepada pemaju. Sebagai contoh, satu unit apartmen dengan keluasan 1,000 kaki persegi di Putrajaya dijual pada harga 150 ribu ringgit berbanding harga pasaran 220 ribu ringgit. Kerajaan juga akan memberi pengecualian sepenuhnya duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah program ini.

90. Bagi mempastikan masyarakat Bumiputera bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi, Kerajaan telah menubuhkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk menyelaras dan memacu transformasi serta memperkukuhkan penyertaan masyarakat Bumiputera dalam perniagaan. Untuk ini, TERAJU akan membimbing secara berperingkat hampir 1,100 syarikat Bumiputera yang berprestasi tinggi dan berpotensi untuk disenaraikan di bursa saham. Di samping itu, MARA akan menyediakan pembiayaan modal kepada warga syarikat korporat yang berkelayakan untuk pembelian ekuiti serta pengambilalihan syarikat berasaskan konsep Management Buyout.

91. Pembangunan usahawan merupakan faktor terpenting bagi melonjak aktiviti ekonomi Bumiputera. Selaras dengan itu, program pembangunan usahawan yang bersepadu akan dilaksana bagi meningkatkan daya saing dan daya maju usahawan Bumiputera termasuk masyarakat luar bandar. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi program pembangunan usahawan dan kontraktor Bumiputera di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

97. Pada tahun 2011, Kerajaan telah memperuntukkan 120 juta ringgit kepada TEKUN. Bagi memberi rangsangan kepada usahawan kecil, saya mencadangkan peruntukan ini ditambah lebih sekali ganda lagi kepada 300 juta ringgit. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga akan menyediakan 2.1 bilion ringgit untuk pembiayaan pinjaman mikro kepada usahawan terutamanya wanita. Daripada jumlah tersebut, 100 juta ringgit disediakan untuk usahawan kaum India dan 100 juta ringgit lagi kepada usahawan kaum Cina melalui satu unit khas di bawah AIM. Untuk mengurangkan kos pengendalian peniaga dan usahawan mikro, Kerajaan mencadangkan surat cara perjanjian pembiayaan mikro kredit diberi pengecualian duti setem

101. Golongan belia adalah generasi yang menyumbang dan merealisasi wawasan negara. Generasi muda perlu diperlengkap dengan latihan dan kemahiran bagi mempastikan peranan mereka dalam pembangunan negara. Untuk ini, Kerajaan akan memperuntukkan 320 juta ringgit bagi menjalankan pelbagai aktiviti termasuk latihan kemahiran, program kepimpinan, daya tahan dan keusahawanan di peringkat daerah dan negeri termasuk sumbangan kepada Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah.

DANA UNTUK USAHAWAN KECIL DINAMIK

>Peruntukan Awal sebanyak RM50 juta
>Pinjaman RM5-10 ribu kepada Usahawan Kecil yang berpotensi dan dinamik .
>Tempoh bayaran balik 2 tahun dibawah skim Al Qhardul Hassan
>Dana ini telah diumumkan pada 22 september 2011 sempena Karnival Uasahawan Desa di Putrajaya.
>Pemohon mestilah ahli kepada Persatuan Gabungan Penjaja dan Perniaga Kecil Melayu Malaysia –PPPKM, sehingga kini ahli PPPKM berjumlah 500,000 orang.
>Kepada yang berminat, sila hubungi Pegawai Mara daerah (PMD) dan Pusat Bimbingan Usahawan MARA(PUSMA)